Monday, December 11, 2006

Thursday, November 09, 2006

LEMBAH PANTAI MENSASAR SETINGGAN SIFAR 2007



Kejayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memindahkan 90 peratus penduduk setinggan di Kuala Lumpur sejak sembilan tahun lalu menjadikan Parlimen Lembah Pantai berada pada tahap jumlah setinggan paling rendah di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sepuloh tahun lalu, ada kira-kira 12,000 setinggan di kawasan Lembah Pantai dan pada hari ini kita berjaya mengurangkannya kepada 2,000 penduduk saja.

“Ini bermakna jumlah penduduk setinggan di Lembah Pantai adalah paling rendah di Kuala Lumpur.” Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Oleh itu, adalah layak Dato’ Sri Shahrizat mendapat jolokan sebagai ‘Srikandi Setinggan’. Bagaimanapun beliau mengingatkan penduduk dua buah kampong setinggan yang ditawarkan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai, Pantai Dalam dan yang terbaru penduduk Kg Hj Abdullah Hukum di sini, agar tidak menjual kediaman baru mereka semata-mata untuk mendapat keuntungan segera kerana langkah itu mungkin merugikan mereka sendiri.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kerajaan bersusah payah menyediakan kediaman cantik dan dilengkapi kemudahan supaya penduduk setinggan dapat hidup dengan lebih selesa.

“Saya mengingatkan kepada penduduk yang dapat rumah ini, jangan ada pula yang cuba mahu menjualnya kepada pihak lain. Ini kerana kerajaan sudah berusaha sedaya upaya menyediakan apa yang terbaik untuk rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

“Oleh itu, bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, proses pertukaran nama hak milik rumah kos rendah akan dipantau dan hanya dilakukan di kalangan mereka yang mempunyai pertalian keluarga,” katanya di majlis penyerahan kunci kediaman PPR Pantai Permai dan Kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau turut berharap penduduk dapat menjaga semua kemudahan yang dibina untuk aktiviti komuniti, sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan.

“Oleh itu, penduduk wajar mensyukuri kesenangan yang diperolehi hasil penat lelah kerajaan yang berjuang selama lima tahun supaya nasib penduduk setinggan terbela,” katanya

Wednesday, October 11, 2006

LEBUHRAYA PANTAI BARU BERJAYA ATASI KESESAKAN


Pengorbanan penduduk setinggan Lembah Pantai untuk memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pantai Baru cukup besar nilainya. Para pengguna Lebuhraya Persekutuan tidak perlu lagi bersesak dengan deretan kenderaan untuk perjalanan ulang alik dari Pusat Bandar ke Sunway atau Subang Jaya

Para pengguna jalan raya di ibu kota terutama para penduduk USJ dan Subang Jaya kini boleh menarik nafas lega dengan siapnya projek menaik taraf Lebuh Raya Pantai Baru.

Projek yang menelan kos RM140 juta itu melibatkan pembinaan terowong di Persimpangan Tujuan dan dua laluan bertingkat di Subang Utama dan Jalan Jengka, Subang Jaya

Perjalanan melalui Lebuh Raya Pantai Baru dapat menjimatkan masa, minyak serta mengelakkan kesesakan yang selama ini menjadi trauma di kalangan pengguna Lebuh Raya Persekutuan.

Eksekutif Kanan Komunikasi Koprat New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) Dennis Tan Lim berkata, jarak perjalanan memakan masa selama 15 minit sahaja dengan menggunakan lebuh raya ini berbanding menggunakan Lebuhraya Persekutuan yang memakan masa 45 minit untuk ke Bangsar, Subang Jaya, Shah Alam dari pusat bandar.

Lebuhraya Baru Pantai merupakan antara laluan utama di Kuala Lumpur. Lebuhraya sepanjang 19.6 km itu memudahkan lalu lintas ke pusat Bandar Kuala Lumpur dari kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway kerana ia mengelakkan pengguna daripada kesesakan di Lebuhraya Persekutuan ketika waktu puncak. Laluan ini juga menghubungkan pengguna ke jalan raya utama

Fakta
Jarak - 19.6 km
Arah - Barat-Utara
Mula - Subang Jaya, Selangor

  • Destinasi Utama
    Subang Jaya
    Bandar Sunway
    Petaling Jaya
    Kuchai Lama
    Pantai Dalam
    Pantai Baru
    Bangsar
    KL Sentral
    Tamat Bangsar, Kuala Lumpur
  • Pembinaan - 2000-2004
    Sambungan Lebuh Raya
    Lebuhraya Damansara Puchong
    Lebuhraya Persekutuan
    Lebuhraya Sungai Besi
    Lebuhraya KL-Seremban
  • Monday, October 09, 2006

    MAJLIS TINDAKAN LEMBAH PANTAI DITUBUHKAN


    Majlis Tindakan Lembah Pantai ditubuhkan di bawah kelolaan Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil bertujuan memantau isu-isu pembangunan di Lembah Pantai. Penubuhan majlis ini bertujuan memastikan pembangunan mapan dapat dicapai selaras dengan hasrat pembangunan negara.

    Sepanjang Julai lalu banyak isu berbangkit mengenai pembangunan di Kawasan Parlimen Lembah Pantai yang perlu diperjuangkan. Beberapa isu yang mendapat perhatian Jawatankuasa Majlis Tindakan Lembah Pantai telah dibincang dan perlu diperjelaskan kepada penduduk.

    Anggota Majlis Tindakan Lembah Pantai

    Pengerusi
    Dato Sri Shahrizat Abd Jalil

    Timbalan Pengerusi
    Dato’ Dr Abdul Razak Omar

    AHLI JAWATANKUASA
    Mohd Radzi Abdullah
    Jaffari Osman
    Yusri Ahmad
    Lai Kong Fah
    R.C Veeraseelan
    M. Moorthi
    K. Sabaratnam
    Radziah Kassim
    Mohamad Abdullah
    Abu Seman Lias
    Dato George Joseph
    Ir. Ahmad Nordeen Mohd Salleh
    Sharuddin Mustapha
    Tungku Zahiah Sulong
    Ronnie Quay
    Batumalai Ramalingam
    Ishak Abdullah
    Alamin Md Jeni
    Tengku Mohd Ali Tengku Awang
    Ismail Masri
    Ahmad @ Aziz Rahman
    Mohamad Abdullah
    Manso Alias
    Adnan Saari
    Mohd Noor Ali
    Badrilla Abdullah
    Adnan Mudzi
    Wahid Abd Jalal

    PENDUDUK KONDO RAKYAT KEKALKAN TRADISI MURNI


    Bukan mudah menghidupkan nilai murni seperti masyarakt di kampong apabila berada di ibu kota, kerana sibuk dengan haluan masing-masing.

    Bagaimanapun, penduduk Kondo Rakyat, Desa Pantai masih tidak lupa dengan amalan murni di kampong dengan mengadakan majlis marhaban, forum agama dan cukur jambul yang membabitkan 20 orang bayi.

    Program dari petang ke malam pada 5 Mei 2006 berlangsung dengan kerjasama UMNO Cawangan Kampung Pantai, Gerakan Belia 4B, Surau Insaniah, Persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan NGO di kawasan itu.

    “Ini sebenarnya program bercorak keagamaan julung kali diadakan dengan dua tujuan utama, iaitu hendak menghidupkan adat lama yang semakin dilupakan warga kota, sedangkan di kampong ia masih bergema.

    “Kami juga mahu memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk Kondo Rakyat yang mempunyai kira-kira 1,000 keluarga,” kata Setiausaha UMNO Cawanan Kampung Pantai, Fauzi Che Ahmad

    Program itu dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

    KUMPULAN MARHABAN LEMBAH PANTAI JOHAN WILAYAH PERSEKUTUAN

    Syabas kepada kumpulan marhaban Lembah Pantai kerana berjaya meraih kemenangan dalam Pertandingan Marhaban Wilayah Persekutuan pada Ogos 2006 lalu.

    Kumpulan Marbahan di bawah umur 20 tahun berjaya menjadi johan bagi peringkat remaja WP Kuala Lumpur sementara kumpulan marhaban dewasa pula menjadi naib johan.

    Kejayaan membanggakan di Audotorium DBKL akan membawa kumpulan marhaban Lembah Pantai ini mewakili WP Kuala Lumpur ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada 16-18 September 2006

    Menurut penaung kumpulan marhaban Kondo Rakyat Mohamad Abdullah bahawa kumpulan yang ditubuhkan dua tahun lalu itu bukan bermatlamat menyertai pertandingan untuk meraih hadiah tetapi sebenarnya mahu membimbing dan memberi ruang dan peluang kepada remaja tempatan untuk mengenali dan menghayati nyanyian dalam marhaban.

    “Kejayaan memenangi johan peringkat remaja itu suatu bonus yang amat membanggakan,” katan Mohamad

    Selain membimbing Kumpulan Marhaban itu, Mohamad juga mengadakan kumpulan kompang untuk remaja.

    “Kita perlu menyediakan aktiviti untuk remaja kawasan Lembah Pantai. Kalau mereka tidak boleh bermain bola sepak, mereka boleh sertai kumpulan silat. Kalau tak minat silat, masuk kumpulan marhaban. Kalau tidak boleh juga marhaban sebab suara tidak sedap, mereka boleh masuk kumpulan kompang, jelas Ketua UMNO Cawangan Kg Pantai itu.

    Mohamad menjelaskan bahawa keahlian kumpulan marhaban kini berjumlah 60 orang, sementara kumpulan kompang 50 orang dan silat 20 orang.

    Bercerita mengenai marhaban, Mohamad menjelaskan usaha mewujudkan kumpulan itu dicetuskan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai sendiri, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu mengalihkan perhatian remaja daripada menyanyi di pusat karaoke kepada belajar menyanyi lagu-lagu marhaban.

    “Lagipun, ini adalah budaya Melayu. Kita perlu melatih remaja menyampaikan marhaban dengan cara yang betul melalui latihan. Dengan usaha ini juga kita mengelakkan remaja daripada terbabit dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan anti sosial. Lebih-lebih lagi hidup di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini banyak cabaran dan godaan yang perlu dihadapi oleh remaja kawasan ini,’ kata Mohamad

    JEJANTAS RM800,000 GANTI JALAN PINTAS


    Perjuangan meminta pihak berkuasa membina jambatan bagi menjamin keselamatan pengguna dan penduduk sekitar Lembah Pantai akhirnya membuahkan hasil.

    Persetujuan pihak kerajaan membina jejantas bernilai RM800,000 memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Lembah Pantai, apabila mereka tidak perlu lagi menyabung nyawa menyeberangi landasan kereta api untuk melakukan aktiviti harian.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah meluluskan pembinaan jejantas berkenaan dan memberi jaminan projek terbabit akan dimulakan dalam masa terdekat.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepda DBKL kerana mengambil berat mengenai masalah dan keselamatan penduduk sekitar Projek Perumahan Rakyat Sri Pantai

    “Permohonan jejantas itu sudah dikemukakan kepada DBKL sejak tahun lalu tetapi disebabkan tiada peruntukan proses pembinaannya terpaksa ditunda dan dimulakan tahun ini,” kata beliau

    Dato’ Sri Shahrizat memberitahu perkara ini pada 26 Jun lalu selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Penggunaan Topi Keledar Penunggang dan Pembonceng Motosikal 2006

    Selama bertahun-tahun penduduk kawasan perumahan PPR Sri Pantai terpaksa menggunakan landasan keratapi sebagai jalan pintas ke Jalan Pantai Dalam.

    Dengan terbina jejantas yang dijangka siap hujung tahun ini, ia akan dimanfatkan kira-kira 5,000 penduduk sekitar.

    Dato’ Sri Shahrizat berkata, kebanyakan penduduk terutama pelajar sekolah yang mahu ke seberang jalan terpaksa melintasi landasan keretapi yang berbahaya dan mungkin berisiko menghadapi kemalangan.

    “Saya berharap DBKL menunaikan janji menyiapkan jejantas pejalan kaki ini secepat mungkin demi keselamatan penduduk setempat.

    “Perkara ini perlu diambil maklum kerana pada masa ini penduduk setempat menggunakan jalan alternatif melalui landasan keretapi berhampiran untuk ke jalan utama dan ia sangat berbahaya khususnya kepada pelajar sekolah,” katanya

    WAJAH LEMBAH PANTAI KETARA BERUBAH

    Sebahagian daripada pembangunan yang merubah wajah Lembah Pantai


    KL SENTRAL : Pembangunan yang menjadi nadi perubahan Lembah Pantai dari kawasan setinggan kepada pembangunan metropolitan


    Kawasan Lembah Pantai seluas 22 kilometer persegi terletak di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur. Ia menjadi tempat tinggal kepada lebih 200,000 orang penduduk yang terdiri daripada 65 peratus Melayu, 32 peratus Cina, 21 peratus India, kaum-kaum lain 1 peratus serta rakyat negara asing.

    Bukan mudah untuk mencari tanah kosong di Lembah Pantai sekarang. Kebanyakkannya sudah dimajukan. Mengikut data Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kawasan Lembah Pantai, tidak lebih 2 peratus kawasan ini belum dimajukan. Sebaliknya kegunaan tanah mengikut peratusan menunjukkan lebih 83 peratus dibangunkan dengan projek perumahan, 10 peratus untuk perindustrian, 2 peratus pusat rekreasi dan 3 peratus pusat pengajian tinggi.

    Pembangunan di Lembah Pantai boleh dikatakan hampir lengkap dengan segala kemudahan untuk penduduk tempatan dan masyarakat dari luar kawasan ini. Disinilah terletaknya pusat pengajian tinggi tertua negara ini iaitu Universiti Malaya. Kemudahan diikuti penubuhan Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai dan beberapa kolej swasta yang menyediakan kursus professional.

    Terdapat dua buah hospital iaitu Pusat Perubahan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Pantai disamping puluhan klinik swasta.

    Bagi tarikan para pelancung pula tersergam indah Muzium Negara. Faktor tarikan utama masyarakat datang bertumpu ke Lembah Pantai sudah tentu kerana wujudnya kemudahan sistem pengangkutan awam tercanggih di KL Central yang menyediakan perkhidmatan LRT Putra, Komuter, KTMB, ERL KLIA, Monorail serta bas dan teksi.

    Dari jauh pengguna jalan raya utama boleh melihat Hotel KL Hilton dan Hotel Meredian serta Hotel Novotel di Mid Valley. Paling membanggakan ialah Menara TM yang menjulang langit Lembah Pantai.

    Kawasan metropolitan Lembah Pantai ini juga menyediakan pusat-pusat membeli belah seperti Mid Valley Mega Mall, Bangsar Utama, Bangsar Village serta banyak lagi lokasi yang bersuasana meriah.

    Penduduk Lembah Pantai cukup berbangga dengan kewujudan RTM di Kompleks Angkasapuri yang menjadi penyalur maklumat ke seluruh negara dan antarabangsa. Di sini juga terletaknya ibu pejabat konglomerat negara seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Keretapi Tanah Melayu dan syarikat akhbar, The News Straits Times.

    Pembangunan dan perubahan yang dilihat dari masa ke semasa itu boleh dikatakan dalam bentuk fizikal. Bagaimana pula perubahan yang dirasai sendiri oleh penduduk Lembah Pantai.

    Ketua UMNO Cawangan Kg Pasir Baru Indah, Adnan Mudzi melihat Lembah Pantai sejak di bawah kepimpinan Dato’ Sri Shahrizat telah banyak menumpukan perhatian kepada menyelesaikan masalah setinggan.

    “Saya jangkakan 10-20 peratus masalah penempatan setinggan yang masih wujud di Lembah Pantai akan selesai pada akhir tahun ini. Ada beberapa isu semasa sedang ditangani dalam proses memindahkan setinggan ke Projek Perumahan Rakyat.” katanya ketika dihubungi.

    Harapan Adnan supaya Lembah Pantai terus membangun berbanding apa yang dilihatnya 15 tahun dulu.

    “Sekarang, kalau kita memandu kenderaan meninjau kawasan Lembah Pantai, dapat diliha sendiri kemajuan pesat Lembah Pantai cukup merebak ke semua tempat,” kata Adnan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai.

    Pada keseluruhan, kawasan ini telah membangun. Tetapi pembangunan paling ketara pada pandangan Setiausaha MCA Lembah Pantai, Lai Kong Fah pula ialah perumahan.

    “Sebab dahulu jumlah setinggan di Lembah Pantai cukup banyak, tetapi sekarang tinggal sedikit sahaja. Masyarakat setinggan mahu tidak mahu perlu memberi laluan kepada projek pembangunan yang dirancang oleh DBKL yang mensasarkan Setinggan Sifar 2007.

    “Saya lihat kawasan setinggan di sekitar Sri Sentosa, Pantai Dalam, Kg Pasir Baru, Batu 6 Jalan Puchong telah dipindahkan ke projek PPR,”

    Bagi Lai Kong Fah yang juga Ketua MCA Cawangan Sri Sentosa, dalam projek pembangunan, tumpuan perlu juga diberikan kepada usaha membantu kebajikan warga emas, ibu dan bapa tunggal, orang kurang upaya seperti yang dijalankan dalam masyarakat Lembah Pantai.

    “Saya harap pembangunan dan taraf hidup penduduk kawasan ini seiring dengan apa yang terdapat dalam RMK9.

    “Kita mahu penduduk Lembah Pantai juga maju seiring dengan RMK9,” kata Lai Kong Fah

    Bagi Setiausaha MIC Bahagian Lembah Pantai, R.C Veeraseelan yang dilahirkan di kawasan ini, beliau dapat melihat sendiri banyak perbezaan pembangunan yang dialami di Lembah Pantai.

    Sistem perhubungan pengangkutan di KL Sentral membolehkan penduduk Lembah Pantai mudah dihubungi dari mana-mana arah dengan berkesan.

    “Dulu bila sampai di Jalan Pantai Baharu, kita sudah dapat lihat kawasan setinggan. Sekarang rumah setinggan sudah diganti dengan kawasan rumah pangsa, kata Veeraseelan

    Jelas, taraf hidup penduduk pelbagai kaum di sini bertambah baik. Malah kata pemimpin politik kaum India itu, hubungan dan kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum bertambah erat.

    “Dahulu semasa tinggal di kawasan setinggan, masyarakat di situ terpisah-pisah mengikut kaum. Misalnya, kaum Melayu tinggal dengan sesama kaumnya, begitu juga setinggan kaum India dan Cina.

    “Tetapi sekarang dengan tinggal di rumah pangsa, hubungan antara kaum dapat dieratkan melalui persatuan-persatuan penduduk dan parti politik Barisan Nasional yang ditubuhkan di kawasan perumahan,” katanya lagi

    Tidak dapat dinafikan, majoriti penduduk Lembah Pantai berasa terhutang budi kepada Dato’ Sri Shahrizat yang telah banyak membawa perubahan dan pembangunan di sini.

    “Kawasan Lembah Pantai ini dahulu terkenal sebagai kawasan bencana seperti dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Klang, kebakaran kawasan setinggan, masalah pokok tumbang bila musim hujan lebat, kesesakan lalu lintas dan lain-lain. Tapi sejak beliau memenangi pilihan raya umum 1995 bagi kawasan Lembah Pantai, banyak pembaharuan yang dilakukannya terutama mengurangkan kejadian banjir, masalah kawasan setinggan dan kebakaran,” kata Mohd Radzi Abdullah, Pegawai Khas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai.

    Taraf hidup penduduk Lembah Pantai telah semakin baik. Dengan puluhan sektor koprat dan komersial yang tumbuh di sekitar kawasan ini, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak penduduk Lembah Pantai.

    Kita dapati corak hidup penduduk Lembah Pantai telah banyak berubah kata rakan sejawatannya, Jaffari Osman. Penduduk Lembah Pantai, katanya menumpang tuah Dato’ Sri Shahrizat apabila beliau dilantik menjadi menteri penuh.

    “Sebelum beliau menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apabila timbul kes-kes kecemasan, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil masa empat hari tetapi kini bantuan kemanusiaan dapat disediakan dalam tempoh kurang daripada 48 jam. Bagi kes rumah terbakar, masalah penempatan bagi mangsa terlibat dapat disediakan dalam masa dua minggu berbanding sebelum ini,” kata Jaffari.

    KELAB REMAJA METROPOLITAN : USAHA LAHIR PEMAIN BOLASEPAK BERWIBAWA


    Bertempat di padang bola sepak Sekolah Menengah Bukit Bandaraya, Bangsar, para remaja pelbagai peringkat umur dan kaum sibuk menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih. Pemain-pemain itu adalah peserta Kelab Remaja Metropolitan Lembah Pantai (KRMLP) yang baru ditubuhkan pada 19 Ogos 2006 lalu.

    Menurut Pengarah program Ramlan Askolani, pasukan bola sepak ini ditubuhkan adalah atas usaha dan cadangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Dato’ Sri Shahrizat Abd Jalil dan atas nasihat Setiausaha Politik beliau, Dato’ Dr. Abdul Razak Omar. Kelab ini juga mendapat nasihat daripada bekas pengadil FAM, Datuk George Joseph.

    “Kita mahu membimbing pemain remaja yang berumur sekecil 8 tahun hingga remaja 17 tahun dari kawasan Lembah Pantai hingga mereka berjaya bermain ke tahap mewakili negeri dan negara,” kata Ramlan yang juga bekas pemain bolasepak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pemain kebangsaan di era 1980-an.

    Menurut Ramlan, beliau yakin peserta kelab ini akan berjaya kerana ia dibimbing oleh jurulatih yang mempunyai lesen FAM seperti Lokman Baharuddin dan Zulkifli Sameon (bekas pemain Kuala Lumpur dan Melaka)

    Ahli-ahli Kelab ini dikategorikan kepada lima kumpulan iaitu bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun.

    Selain matlamat untuk melahirkan bintang bola sepak dari Lembah Pantai, Kelab ini juga menerapkan semangat kepada pemain agar berdisplin dan menghormati golongan lebih tua. Malah penyertaan mereka dalam kelab sebegini dapat menghidari mereka daripada terlibat dengan gejala negatif.

    KOMPLEKS SUKAN BANGSAR WAJAR DINAIK TARAF


    Kompleks Sukan Bangsar tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa kira-kira 200,000 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai, Dato’ Sri Shahrizat Abd Jalil berkata, ada sesetengah kemudahan sudah lama dan dewan sebagunanya tidak dilengkapi pendingin hawa. Justeru, beliau sudah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memeriksa kemudahan di kompleks berkenaan dan jika perlu dinaik taraf kompleks itu dengan kemudahan moden.

    “Ketika saya memangku jawatan Menteri Wilayah Persekutuan saya sudah meminta DBKL memeriksa kemudahan di kompleks berkenaan dan mereka sudahpun bersetuju untuk melengkapkannya dengan kemudahan lebih canggih.

    “Datuk Bandar Kuala Lumpur juga bersetuju untuk membetulkan jalan dan kemudahan lain di Bangsar dan kawasan sekitarnya terutama berkaitan sampah, pokok, jalan dan tempat letak kereta,” katanya ketika melancarkan Bazar Kebajikan anjuran Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya 19 Februari 2006 lalu.

    Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya dan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Aset dan hartanah Bandaraya Development Berhad, Datuk Mohan R. Karthigasu. Kira-kira 30 gerai mengambil bahagian dalam bazaar itu.

    Dato’ Sri Shahrizat meminta Kompleks Sukan Bangsar dinaik taraf kepada status lima bintang untuk dinikmati oleh penduduk sekitar Lembah Pantai. Ini perlu kerana Lembah Pantai kekurangan kompleks orang ramai. Malah ia boleh digunakan untuk keperluan lain seperti majlis kahwin, kenduri-kendara dan lain-lain.

    Kawasan perumahan yang terhad di Lembah Pantai memerlukan kompleks ini digunakan sepenuhnya.

    DBKL BELA PENGGUNA DI BANGSAR VILLAGE


    Pusat beli-belah Bangsar Village memang cantik dan moden. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang letak kereta yang banyak, eskalator yang mencukupi dan deretan kedai yang menawarkan bermacam-macam jenis barangan.

    Begitupun di sebalik kesempurnaan itu, pusat beli-belah ini meminggirkan satu keperluan yang penting terutama di kalangan umat Islam sehingga mereka resah setiap kali ke sana – tandas yang tidak menyediakan pili air.

    Keadaan ini sekaligus mengundang persoalan di kalangan orang ramai lebih-lebih lagi apabila mengaitkan Bangsar sebagai lokasi kediaman eksklusif masyarakat kota.

    Atau adakah pihak pengurusan bangunan lebih mementingkan kehendak pengunjung warga asing yang banyak tinggal di Bangsar yang majoritinya selesa menggunakan tandas kering.

    Boleh dikatakan hampir kesemua tandas di pusat beli-belah tersebut tidak berpili air dan jika ada pun ia begitu terhad.

    Masalah timbul apabila umat Islam hendak melepaskan hajat dan kemudian bersuci. Hanyalah tisu disediakan untuk kegunaan bersuci.

    Apa yang menimbulkan pertanyaan, terdapat sambungan paip air di setiap tandas, tetapi ia dipalam seolah-oleh tidak membenarkan pengguna menggunakan air.

    Tindakan ini jelas menggambarkan sikap pengurusan bangunan yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

    Perkara ini harus diberi perhatian segera kerana tiada guna membina pusat beli-belah yang canggih dan eksklusif, namun kemudahan tandasnya mendukacitakan.

    Namun setelah masalah ini didedahkan oleh akhbar Kosmo, barulah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengarahkan pihak pengurusan pusat beli-belah Bangsar Village untuk memasang pili air dalam setiap tandas di kompleks tersebut.

    “Kami telah mengedarkan garis panduan penyeliaan tandas awam kepada pengurusan bangunan berkenaan.

    “Ini membolehkan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” kata Pegawai Perhubungan Awam dan Antarabangsa DBKL, Anwar Mohd Zain.

    SHAHRIZAT BANTAH LANJUT WAKTU TUTUP PUSAT HIBURAN


    Pendirian Dato’ Sri Shahrizat Abd Jalil cukup jelas bahawa beliau ingin melihat Lembah Pantai bukan sahaja membangun dari segi fizikal tetapi juga bebas daripada masalah sosial.

    Justeru, Ahli Parlimen Lembah Pantai ini bingkas bangkit menyuarakan bantahan cadangan melanjutkan waktu operasi pusat hiburan sehingga pukul 5 pagi. Bagi beliau, tidak ada alasan untuk bersetuju dengan hal yang bertentangan dengan usaha membanteras gejala sosial.

    Dato’ Sri Shahrizat sendiri berjuang untuk membersihkan kawasan Lembah Pantai daripada masalah sosial di mana banyak pusat hiburan beroperasi di kawasan ini. Malah katanya, jika perkara itu dibawah kepada jemaah menteri untuk dibincangkan, beliau akan membantah.

    Pendirian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sangat tepat kerana aktiviti hiburan malam yang diamalkan kini tidak sesuai dengan identity Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Malah ia mengundang pelbagai bahaya seperti penggunaan dadah di pusat hiburan serta kemalangan jalan raya kerana mabuk dan khayal.

    Apatah lagi, katanya, ketika kini pihak berkuasa tempatan tidak mampu menguatkuasakan undang-undang yang ada iaitu penutupan pusat hiburan pada pukul 1 pagi pada hari bekerja dan 3 pagi pada hari minggu.

    “Penguatkuasaan pusat hiburan pada masa kini amat mengecewakan.

    “Pusat hiburan tidak mengikut masa yang ditetapkan dan sesiapa sahaja dibenarkan masuk serta membeli alkohol termasuk yang berumur di bawah 21 tahun.

    “Oleh itu, sebelum sebarang perubahan dibuat pada waktu penutupan pusat hiburan, elok dilihat semula undang-undang untuk memastikan ia memuaskan dan PBT mampu mengawasinya,” kata beliau.

    Dato’ Sri Shahrizat berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Membaca Surat Khabar Jawi peringkat Parlimen Lembah Pantai pada 11 Julai 2006 lalu. Bantahan daripada Dato’ Shahrizat dan pengajaran yang dialami penduduk Bangsar akhirnya cadangan itu ditolak.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan alasan bahawa melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan akan menjadi produk pelancongan yang baik bagi negara adalah tidak benar kerana di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Australia, pusat rekreasinya ditutup pada pukul 6 petang.

    “Hanya pusat hiburan yang berkualiti sahaja dibuka selepas itu namun ia tidak menghalang kedatangan berjuta-juta pelancong,” jelasnya.

    Disamping itu, beliau menyeru kepada pengusaha pusat hiburan dan premis yang ada kaitan dengan sektor itu agar tidak mengenepikan tanggungjawab kepada masyarakat demi semata-mata untuk mencari keuntungan lebih.

    Golongan sebegini perlu diperingatkan selalu, dalam usaha mengaut keuntungan perniagaan, mereka juga harus membantu kerajaan membina masyarakat yang sihat mental dan fizikal.

    PENDUDUK KG HJ ABDULLAH HUKUM GEMBIRA SELEPAS SETAHUN MENANTI

    PENANTIAN BAKAL BERAKHIR : Penduduk setinggan Kg Hj Abdullah Hukum bakal berpindah ke penempatan baru tidak lama lagi


    Pertemuan penduduk Kg Hj Abdullah Hukum dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Dato’ Sri Shahrizat Abd Jalil pada pukul 9 malam, 1 September 2006 lalu di Dewan Orang Ramai kawasan perumahan baru itu telah membawa khabar cukup gembira kepada mereka. Penantian begitu lama untuk mendapat rumah yang selesa dan berharga RM51,000 di tengah-tengah Bandar raya Kuala Lumpur akhirnya terjawab.

    Dato Sri Shahrizat memberitahu bahawa 564 keluarga yang disenarai sebagai penerima unit projek perumahan berkenaan akan berpindah sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri Oktober ini.

    Bulan September ini genaplah setahun bangunan rumah pangsa Kampung Hj Abdullah Hukum yang siap untuk diduduki itu tetapi masih tidak dihuni adalah kerana tiada keputusan pemindahan dapat diumumkan.

    Syukur, dengan campur tangan Dato Shahrizat penantian setahun ini akan berakhir.

    Hampir 500 orang hadir di dewan yang penuh sesak yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Zulkifli Ibrahim serta pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lembah Pantai, Dato’ Dr. Abdul Razak Omar, Mohd Radzi dan Jaffari Osman.

    Projek perumahan 15 tingkat yang mendapat sijil layak menduduki pada September 2005 menjadi kontroversi beberapa waktu kerana pertikaian nama penerima unit rumah tersebut.

    Isu tawaran unit rumah itu tidak dapat diselesaikan segera kerana masalah pengesahan senarai nama pengundi Kampung Hj Abdullah Hukum yang patut ditawarkan rumah berkenaan dan terdapat beberapa pertindihan nama yang perlu diselesaikan.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Lembah Pantai mendesak DBKL untuk membuat tawaran segera kepada 338 keluarga dalam senarai kategori A. Ini kerana nama mereka telah disahkan tanpa bantahan.

    Dato Sri Shahrizat juga meminta nama dalam senarai kategori B dan C dipamer segera untuk pengesahan oleh persatuan penduduk setempat.

    Beliau juga mendesak DBKL membuat pemindahan semua yang terlibat sebelum pertengahan Oktober depan sebagai ‘hadiah’ Hari Raya.

    Monday, April 17, 2006

    1,000 mangsa kebakaran dipindah ke flet PPR

    KUALA LUMPUR: Semua 190 keluarga setinggan mangsa kebakaran di Kampung Bukit Pantai semalam akan dipindahkan ke rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sesuai, sama ada sekitar Lembah Pantai atau Puchong dalam masa terdekat.
    Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ketika ini pihaknya mengenal pasti PPR bagi menempatkan lebih 1,000 penduduk setinggan yang tinggal di kampung itu sejak 1989.Katanya, semua mangsa ditempatkan sementara di tiga Dewan Orang Ramai Rumah Pangsa Taman Pantai Indah."Seboleh mungkin kita akan tempatkan semua penduduk setinggan dikawasan Lembah Pantai kerana mereka sudah lama menetap di situ dan kebanyakan anak mereka bersekolah di kawasan itu.
    "Bagaimanapun, jika PPR sedia ada tidak dapat menampung, kita akan pindahkan mereka di kawasan berhampiran seperti Puchong," katanya ketika melawat mangsa.Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan dan Ketua Pengarah DBKL, Salleh Yusup.
    Dalam kebakaran kira-kira jam 2.45 petang semalam, kira-kira 180 daripada 190 rumah setinggan musnah, manakala bakinya mengalami kerosakan. Pasukan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan menghantar lima jentera termasuk dua tangki air dengan kapasiti 10,000 gelen setiap satu berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.55 petang.
    Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat berkata, walaupun pihaknya menjangka rumah pangsa PPR di Lembah Pantai yang ada sekarang tidak dapat menampung keseluruhan setinggan, semua penduduk akan dibela.
    "Kini hanya ada beberapa unit kosong di PPR Lembah Pantai. Oleh itu, saya dan DBKL akan melihat kawasan PPR berhampiran sebagai alternatif,"katanya.Semua 190 keluarga berkenaan tersenarai sebagai penduduk setinggan yang akan dipindahkan secara berperingkat.
    Sementara itu, Ruslin berkata, DBKL akan mengenal pasti sama ada penempatan itu milik kerajaan atau swasta. Jika milik kerajaan, pihaknya akan membangunkannya semula sebagai pusat penempatan PPR selaras dasar kerajaan memberi kemudahan kepada penduduk setinggan.
    "Jika sebaliknya, kita akan cadangkan swasta membina penempatan bagi membolehkan penduduk menyewa. Setakat ini, saya belum dapat sahkan status kawasan itu," katanya.Ditanya mengenai perkembangan penduduk setinggan itu, beliau berkata, DBKL akan menjalankan kerja penyelarasan bagi memindahkan penduduk setinggan ke kawasan yang dikenal pasti.
    "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah membantu daripada segi makanan dan minuman sehingga mereka dipindahkan,"katanya.